Cart 0

Fesyen: Songket untuk semua golongan 12.01.05 Berita Harian

PRESS 2

Fesyen: Songket untuk semua golongan

12.01.05 Berita Harian


SATU ketika dulu songket hanya digunakan golongan bangsawan khususnya keluarga diraja, tetapi hari ini fabrik yang dianggap ratu segala fabrik itu turut dijadikan persalinan raja sehari. Motifnya yang sarat dengan pelbagai elemen dan tekstur yang agak keras membuatkan sukar untuk menggambarkan songket sebagai pakaian kasual.

Itulah masalah yang dihadapi pereka fesyen Kem Salleh dan Ashley Wong dari Kapas Couture Sdn Bhd (Kapas Couture) apabila diminta untuk tampil dengan idea kreatif menggunakan songket.

"Songket sering digunakan untuk pakaian tradisional khususnya pengantin, tetapi apabila kita hendak menggalakkan pemakaian songket kita perlu tampil dengan idea kreatif dan menepati cita rasa pengguna. Akhirnya saya dan Ashley mendapat idea untuk menggambarkan songket sama seperti batik yang boleh dipakai kasual.

"Memandangkan songket itu sendiri sudah kaya dengan corak dan cukup indah, maka kami menggunakannya sebagai motif atau hiasan bagi rekaan kasual serta jubah menerusi kaedah tampal. Ini menyerikan lagi rekaan yang dihasilkan," kata Kem ketika ditemui sejurus pertunjukan fesyen Kapas Couture pada perasmian Songket Anggun Lagi Menawan, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Promosi anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dirasmikan Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal.

Himpunan yang juga dinamakan Songket Anggun Lagi Menawan itu menampilkan 30 pakaian daripada lima fesyen berbeza iaitu santai, baju kurung, jubah, gaun malam dan baju pengantin yang diilhamkan daripada tiga kaum berbeza.

Bagi rekaan santai, Kapas Couture mempertaruhkan kaedah sambung dan juga tampal supaya tidak kelihatan terlalu berat untuk digayakan ke majlis kasual serta koktel. Kata lainnya, songket bukanlah elemen utama sebaliknya sekadar menghiasi pakaian yang diperbuat daripada sifon, kapas, organza, satin dan sutera.

Kaedah yang sama juga digunakan untuk menghasilkan jubah lelaki dan wanita. Sebagai pelengkap songket dijadikan hiasan bagi menyediakan bagi silang, pemegang telefon bimbit, kopiah dan juga sebai.

"Meskipun ia digunakan sekadar hiasan, tetapi apabila melihat pakaian berkenaan perkara yang paling menonjol tentunya songket itu sendiri. Tetapi, bagi menyerikan lagi penggunaan songket itu kami buat kerawang pada tepinya selain sedikit manik digunakan untuk menambahkan kilauan pada rekaan.

"Begitu pun, kami turut mengambil kira warna fabrik yang digunakan supaya sesuai dengan songket yang dipilih. Bagi rekaan santai kami menggunakan warna terang kerana tampak lebih menarik dan sesuai apabila digayakan," katanya lagi.

Seperti genre fesyen tradisional lain, rekaan songket santai ini turut dipadankan dengan seluar jeans bagi menarik lebih ramai generasi muda tampil bergaya dengan rekaan berkenaan.

Bagaimanapun, kata Kem, bagi rekaan baju kurung, gaun malam dan baju pengantin, songket dengan motif ringkas seperti bunga tabur sesuai digunakan bagi mewujudkan lagi kesan dramatik apabila digayakan.

Bagi menyesuaikan pemakaian dalam konteks hari ini, rekaan diberi nafas baru khususnya dari segi potongan supaya tidak tampak janggal. Malah, Kapas Couture turut menghasilkan baju pengantin India dan Cina menggunakan songket sepenuhnya yang tampak lebih berseri dan indah.

Lebih menarik, Kapas Couture turut tampil dengan idea bijak menggunakan songket untuk menghasilkan tali leher kupu-kupu (bow) dan juga bengkung (cover band) yang digunakan dalam pemakaian kot.

Harga bagi himpunan ini bermula daripada RM200 untuk rekaan santai, manakala bagi baju pengantin bermula daripada RM5,000.



Older post Newer post